Pemain industri perkayuan Sarawak digesa tingkatkan kecekapan operasi

Awang Tengah pada sidang media di Kuching hari ini (23 Nov, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Nov: Pemain industri perkayuan Sarawak digesa meningkatkan kecekapan di dalam operasi pengeluaran produk-produk perkayuan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia penting untuk merampas semula kedudukan sebagai pembekal utama produk perkayuan khususnya papan lapis ke negara Jepun.


“Paling mustahak para pemain industri perlu meningkatkan kecekapan di dalam kapasiti dan kos pengeluaran.

“Dengan menggunakan teknologi moden di dalam operasi pengeluaran, kos operasi dapat dikurangkan sekaligus mendapatkan semula pasaran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mempengerusikan Mesyuarat Status dan Pencapaian Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) semasa tempoh Covid-19 di sini, hari ini.

Menurut Awang Tengah, Indonesia ketika ini telah mengambil alih kedudukan daripada Malaysia sebagai pembekal utama papan lapis ke negara Jepun.

Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan kerana selain memiliki hutan semulajadi, negeri ini juga telah melaksanakan program penanaman semula pokok hutan.

“Walaupun bekalan bahan mentah dari hutan semulajadi berkurangan, Sarawak memperolehi bekalan tersebut dari program penanaman semula pokok hutan.

“Justeru, pemain industri di negeri ini perlu juga membuat penyesuaian semula di dalam operasi pengeluaran mereka,” ujar beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua.

Dalam pada itu, Awang Tengah memaklumkan bahawa satu pelan induk industri perkayuan Sarawak sedang dirangka untuk merancakkan semula industri kesan pandemik Covid-19.

Ujar beliau, kerajaan telah melantik pihak perunding dari Australia untuk merangka pelan tersebut bersama-sama agensi-agensi berkaitan dan pemegang taruh di negeri ini.

Pada sidang media yang sama, Awang Tengah turut memaklumkan bahawa nilai eksport produk perkayuan Sarawak menyusut sebanyak 19 peratus kepada RM2.8 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2020 disebabkan pandemik Covid-19.

Jelas beliau, bagi tempoh yang sama tahun lalu, nilai eksport produk perkayuan adalah RM3.47 billion.

“Nilai keseluruhan eksport produk perkayuan Sarawak bagi 2020 dijangka sekitar RM3.75 billion, dibandingkan RM4.5 billion pada 2019,” ujar beliau. — DayakDaily