Pelbagaikan spesis durian sebagai sumber kekayaan baharu

Penolong Pengarah JPS Ronald Ripid (empat dari kanan) menyerahkan cenderahati berupa benih pokok durian kepada Ik Pahon selesai majlis perasmian di Dewan Komuniti Siniawan hari ini (12 Dis, 2020).

Oleh Chris Bishop

BAU, 12 Dis: Pengusaha kebun durian di daerah Bau digesa mempelbagaikan spesis durian keluaran mereka.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ik Pahon Joyik, ini termasuk spesis tempatan seperti suluk tembaga singai dan suluk tembaga baki.


“Di kawasan Bau sahaja ada pelbagai jenis spesis durian yang mungkin rasanya lebih enak dari musang king.

“Jangan tanam durian musang king sahaja, kita harus pelbagaikan spesis tanaman supaya satu hari nanti Kepulauan Borneo mampu mengeluarkan durian yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Kursus Teknologi Penanaman Durian di Dewan Komuniti Siniawan di sini hari ini.

Kursus dianjurkan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dengan kerjasama Persatuan Penanam dan Usahawan Durian Sarawak (PPUDS).

Jelas Ik Pahon, durian adalah sumber kekayaan baharu di dalam sektor pertanian dan penyelidikan akan dilakukan terhadap spesis tempatan.

“Kaedah penanaman durian kini adalah tidak seperti dahulu di mana kaedah 3T (tanam, tinggal dan tuai) tidak lagi digunakan sekiranya ingin terlibat dalam penanaman secara komersial.

“Durian kita tak perlu tanam beratus ekar, dua tiga ekar cukup dan jika dijaga dengan betul semestinya membuahkan hasil,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ik Pahon berkata PPUDS akan menubuhkan satu unit di daerah Bau dan pekebun durian di sekitarnya digalakkan menjadi ahli PPUDS.

Katanya yang juga Presiden PPUDS, penggunaan teknologi digital membantu PPUDS menyampaikan maklumat serta kaedah-kaedah penanaman yang betul kepada ahli-ahli persatuan.

PPUDS menghimpunkan kesemua yang terlibat di dalam industri durian iaitu golongan penanam, pembekal benih dan baja, orang tengah dan penjual atau pengekspot. — DayakDaily