Pekerja syarikat kurier ditangkap, buli OKU dengan mercun

Ahsmon menujukkan pakaian dan mercun yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 11 Mei: Seorang pekerja sebuah syarikat kurier ditangkap polis selepas disyaki membuli seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) di Bandar Baru Semariang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejadian tersebut terbongkar selepas tular video menunjukkan suspek, lelaki berusia 24 tahun terbabit menakut-nakutkan mangsa yang 40an.

Katanya, dalam video tersebut suspek dilihat ‘menembak’ mangsa menggunakan mercun dan juga cuba memukulnya.


“Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat dan suspek telah ditangkap kurang dari 6 jam laporan tersebut dibuat oleh satu pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan tangkapan tersebut di IPD Kuching, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 286 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda untuk kesalahan mendatangkan cedera menggunakan objek (Seksyen 324).

“Manakala seksyen 286 kerana cuai berkenaan apa-apa bahan letupan (mercun) pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Jelasnya juga, seorang lagi suspek iaitu individu yang merakam kejadian tersebut juga telah dikenalpasti.

“Kita akan tahan dia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Justeru Ashmon menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak melampaui batas yang boleh mengakibatkan kemudaratan kepada orang lain,” katanya. ā€” DayakDaily