Kapit perlukan terminal bas untuk tampung keperluan penduduk

Lee (tiga dari kanan) semasa lawatan kerja ke Tapak Cadangan Terminal Bas Kapit.

KUCHING, 11 Mei: Daerah Kapit amat memerlukan terminal bas bagi menampung keperluan perkhidmatan bas dari Sibu dan Kapit yang telah mula beroperasi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keperluan itu semakin mendesak selepas siapnya Jalan Sibu-Kapit.

Selain itu katanya, ada keperluan mewujudkan bandar satelit bagi mengurangkan kesesakan yang tertumpu di satu-satu tempat dalam pekan Kapit.


“Kesesakan tersebut berpunca kerana terdapat hanya satu jalan untuk masuk dan keluar ke Pekan Kapit dan terpaksa melalui hanya satu lampu isyarat.

“Selain itu, bentuk jalan yang sempit iaitu ‘single lane road’ dilihat agak tidak relevan untuk digunakan berdasarkan perkembangan semasa Kapit dan kawasan sekitarnya.

“Jadi untuk mengatasi masalah tersebut, maka satu daripadanya ialah mewujudkan ‘satelit town’ bagi mengurangkan tumpuan ke satu-satu tempat sahaja,” katanya dalam taklimat ringkas di Pejabat Residen Kapit sempena lawatan kerja beliau ke Kapit pada Selasa.

Tegas Lee, masalah kesesakan di pekan itu merupakan isu kritikal yang perlu ditangani segera bagi mengelak berlaku lebih banyak masalah di masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata sistem pengangkutan sungai masih boleh dimanfaatkan meskipun kebanyakan pengguna menggunakan jalan darat untuk keluar dari Kapit.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan kepada Jawatankuasa Pembangunan Bahagian Kapit untuk meneroka potensi menjadikan pengangkutan sungai sebagai medium pengangkutan barang mentah dan sebagai ekopelancongan.

Dalam lawatan itu Lee bersama rombongan turut melawat Tapak Cadangan Terminal Bas Kapit di Jalan Kapit-Song dan Kem Arang Batu Nanga Tulie, Batang Rejang untuk melihat secara dekat tentang operasi pemunggahan arang batu dari di kem berkenaan.

Pengeluaran arang batu di kawasan berkenaan telah beroperasi sejak sekitar tahun 1990an dan mampu mengeluarkan sekitar 600 ribu tan metrik setiap tahun yang berpusat di Nanga Merit.

Pengangkutan utama arang batu adalah menggunakan bot tunda ke Pelabuhan Tanjung Manis dengan setiap perjalanan mampu membawa 2,000 hingga 3,000 tan metrik arang batu.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan I Datuk Dr Jerip Susil dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Jefferson Jamit Unyat. — DayakDaily