Pecah amanah: Bekas kerani bank dihukum 103 sebatan dan 44 bulan penjara

Anggota polis mengiringi suspek keluar dari Mahkamah Sesyen Limbang.

LIMBANG, Feb 9: Mahkamah Sesyen Limbang hari ini menjatuhkan hukuman 103 sebatan dan 44 bulan penjara atas seorang bekas kerani sebuah bank di sini selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah terhadap seorang wanita hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM53,870.64 pada tahun lalu.

Hakim Mohd Hafizi Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Khusairie Fanzi Aladin, 34, selepas dia mengaku bersalah atas 103 pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas wanita berusia 68 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai kerani di Maybank Cawangan Limbang bertindak mendaftarkan akaun Maybank2u mangsa menggunakan telefon bimbit atas namanya pada April 3, 2017.


Selepas mendaftarkan akuan Maybank2u mangsa atas namanya, tertuduh didakwa memindahkan wang dari akaun mangsa secara dalam talian sebanyak 103 transaksi.

Pihak polis telah menerima 103 laporan ke atas suspek pada Julai 18 hingga Ogos 28 tahun lalu sebelum menahan suspek. — DayakDaily