Kerani bank ‘kaya segera’ mengaku bersalah pecah amanah

Anggota polis mengiringi suspek keluar dari Mahkamah Sesyen Limbang.

LIMBANG, Feb 8: Seorang kerani bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 103 pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap seorang wanita warga emas berusia 68 tahun hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM53,870.64 pada tahun lalu.

Tertuduh, Khusairie Fanzi Aladin, 34, kemudian membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mohd Hafizi Abdul Halim selepas kertas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Namun, hakim menetapkan Jumaat ini untuk menentukan hukuman ke atas tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan atau didenda.

Kes tersebut dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Dayang Zunainah Razali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai kerani di Maybank Cawangan Limbang bertindak mendaftarkan akaun Maybank2u mangsa menggunakan telefon bimbit atas namanya pada April 3, 2017.

Selepas mendaftarkan akaun Maybank2u mangsa atas namanya, tertuduh didakwa memindahkan wang dari akaun mangsa secara dalam talian sebanyak 103 transaksi.

Pihak polis telah menerima 103 laporan ke atas suspek pada Julai 18 hingga Ogos 28 tahun lalu sebelum menahan suspek kelmarin. — DayakDaily