Polis sasarkan kedai menawarkan servis pengisian semula wang judi

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dato Dev Kumar (kiri) berucap semasa sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

KUCHING, Feb 9: Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Sarawak kini sedang mensasarkan mengambil tindakan terhadap kedai yang menawarkan perkhidmatan mengisikan semula atau ‘reload’ wang pertaruhan bagi kaki judi bermain perjudian baru mengunakan telefon pintar di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dato Dev Kumar berkata demikian berikutan pihaknya mengesan kaki judi di negeri ini sudah beralih mengunakan telefon pintar bagi bermain judi setelah polis berjaya menutup semua premis perjudian mesin ikan dan pusat siber yang menawarkan perjudian atas talian di seluruh negeri ini.

“Bagaimanapun bagi bermain perjudian baru dalam telefon pintar terbabit, kaki judi perlu mengisikan atau reload wang pertaruhan mereka di kedai tertentu yang ada menyediakan perkhidmatan tersebut,” katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Antara ACP Lee Moh Le yang bersara dan digantikan ACP Denis Leong Soon Kuai di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin, di sini, hari ini.

Dev berkata pihaknya sehubungan itu ketika ini mensasarkan kedai yang menawarkan perkhidmatan itu yang dipercayai didalangi pihak sama yang telah membuka premis mesin ikan atau pusat siber bagi perjudian atas talian sebelum ini.

“Bagaimanapun kedai terbabit tidak ada menganjurkan aktiviti judi atas talian dan kaki judi hanya mengunakan perkhidmatan kedai itu bagi mengisi wang pertaruhan dan mereka boleh bermain judi mengunakan telefon pintar di mana sahaja samada di rumah atau kedai kopi,” katanya.

Disamping itu, pihaknya juga akan menyiasat laporan perjudian mesin ikan masih beroperasi di bandaraya ini tetapi menegaskan semenjak tahun lepas kesemua 34 premis perjudian itu dilesenkan sebagai Pusat Hiburan Keluarga telah ditutup pihaknya diseluruh negeri ini.

“Di bandaraya Kuching sebelum ini terdapat lima Pusat Hiburan Keluarga yang telah dibuka dan kita tidak pernah membenarkan mereka kembali beroperasi,” katanya. — DayakDaily