‘Parti politik Sarawak yang berteraskan satu kaum dan agama mungkin senasib dengan Umno dalam PRN12’

Dr Saudi Narani

KUCHING, Julai 1: Parti politik berteraskan satu kaum, etnik dan agama sudah tidak lagi relevan sekarang dan begitu juga di Sarawak, di mana parti seperti itu bakal menerima nasib sama seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Kongres India Se-Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang, yang semakin ditolak oleh pengundi muda daripada semua etnik.

Penganalisis politik, Dr Saudi Narani berkata ia memandangkan trend politik sekarang adalah menjurus kepada parti politik yang multi-etnik dimana sesebuah parti kalau ingin berjaya harus menerima keahlian pelbagai kaum.

“Sesebuah parti tidak dapat bersandar kepada satu kaum sahaja kerana satu kaum secara bersendiri tidak akan dapat membentuk kerajaan.


“Pengundi muda akan terus menolak parti yang berteraskan satu etnik dan juga agama,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.

Beliau menambah parti politik yang multi-etnik tetapi bergabung dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga dilihat sukar mendapat ‘kelebihan daya saing’ seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) kerana terpalit dengan konsep dan manifesto parti gabungan.

“Maka, saya melihat PKR yang multi-etnik dan menerima keahlian tanpa memilih kaum akan terus mendapat sambutan di Sarawak dan begitulah trend yang seterusnya.

“Malah, parti lain yang multi-etnik di Sarawak seperti UPP dengan konsep yang serupa juga mempunyai masa depan yang cerah dan semakin diterima, dan ini adalah rahmat bagi UPP yang tidak bergabung dengan GPS,” katanya.

Dr Saudi memberitahu ini dapat dibuktikan dengan melihat kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dimana rakyat sudah pandai memilih parti dan pasca PRU14 melihat perpecahan dalam BN.

“Parti yang berteraskan etnik semakin ditolak dan mungkin dalam beberapa dekad lagi Malaysia akan merealisasikan demokrasi ala sistem dua parti seperti di Amerika Syarikat dan di beberapa negara lain.

“Kita akan sentiasa terus melihat perkembangan dan transformasi dalam sistem politik negeri dan negara amnya,” katanya.

Namun demikian, Dr Saudi berkata selagi parti politik itu akur kepada Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Negeri serta tidak menolak hak-hak Melayu dan Bumiputera selagi itu parti-parti berkenaan diterima oleh rakyat Malaysia yang cintakan negara.

Tegas beliau, permerkasaan Melayu dan Bumiputera dalam pemerintahan dan pentadbiran negara adalah sewajarnya kerana termaktub dalam perlembagaan.

Mengenai kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke Sarawak khususnya terhadap kawasan Melayu, Dr Saudi berkata memang tidak dapat dinafikan berlaku perpecahan dikalangan Bumiputera dan Melayu, tapi itu adalah kenyataan yang harus diterima.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan tidak melihat ada masalah untuk PPBM menyebar sayapnya ke Sarawak, malah memberi peluang untuk rakyat memilih parti yang lebih sesuai dengan pemikiran politik masing-masing.

“Selagi rakyat Sarawak dapat menerimanya, biarlah mereka menentukan. Kuasa itu ditangan rakyat.

“Seperti parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH), PPBM juga ingin mengukuhkan kedudukannya. Kalau ada masalah pun nanti ia berkisar dalam perebutan kerusi di antara komponen PH dan perkara itu pasti akan dapat diselesaikan di peringkat pengurusan PH Pusat,” katanya. — DayakDaily