Pahlawan negara, Ngalinuh Bala selamat disemadikan di Miri

Sabit Iwan, balu mendiang Ngalinuh mendahulukan kenamaan yang lain menaburkan bunga di keranda suaminya.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 Jun: Pahlawan negara, Sub Inspektor (B) Ngalinuh Bala @Kilah Ratu, 79, yang juga penerima anugerah tertinggi -Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), disemadikan di tanah perkuburan Kristian Sidang Injil Borneo, Lambir di sini dengan penuh istiadat negeri, pada petang Jumaat (26 Jun).

Keranda yang membawa jasad mendiang Ngalinuh itu dibawa ke kawasan pengebumian pada jam 4 petang, oleh lapan orang pengusing yang terdiri daripada anggota polis daerah Miri diketuai Sub Inspektor Thamilvanan Narayanan, selepas majlis penghormatan di Gereja SIB Bukit Kanada.


Antara kenamaan yang hadir mewakili kerajaan negeri, bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker DUN Negeri Datuk Gerawat Gala, yang mewakili kerajaan Negeri Sarawak serta ketua -ketua jabatan kerajan.

Turut hadir termasuk Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan bekas Panglima Medan Timur Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.

Pastor Ramlee Gawing melakukan upacara terakhir sebelum keranda yang membawa jasad mendiang Ngalinuh disemadikan.

Bendera Jalur Gemilang yang membaluti keranda kemudiannya dilipat oleh pengusung keranda dan diserahkan kepada Gerawat  sebelum menyampaikannya kepada balu mendiang Ngalinuh, Sabit Iwat @Sinah Ngalinuh Bala, 73.

Sabit mengetuai kenamaan yang lain menabur bunga di kubur bagi menamatkan upacara tersebut.

Ngalinuh menghembuskan nafas terakhir pada petang Selasa (23 Jun), jam 6.47 di hospital Miri, akibat komplikasi paru-paru dan diabetes.

Terdahulu, beliau telah dimasukkan ke institusi perubatan tersebut pada 12 Jun.

Ngalinuh meninggalkan seorang balu, lima anak, 9 cucu dan satu cicit.

Beliau yang lahir pada 1 Januari 1941 di Kampung Pa Lungan, Bario, mula berkhidmat dengan pasukan keselamatan sebagai Special Constable (SC) pada 14 Januari 1961.

Setelah beberapa tahun, Ngalinuh dinaikkan pangkat kepada Koperal pada 9 September 1964 dan ke pangkat Sarjan pada 8 Julai 1971.

Beliau pernah berkhidmat di Batalion ke 18 Pasukan Polis Hutan (PPH) Miri, sebelum dipindahkan ke Batalion ke-15 PPH Sibu pada Januari 1980.

Semasa berkhidmat di Batalion ke-15 PPH, Ngalinuh dinaikkan pangkat menjadi Sarjan Major (SM) pada 1 Januari 1983 dan menjawat jawatan di kompeni Bravo Batalion ke-15 PPH Sibu.

Pada 1990, beliau sekali lagi berpindah ke Delta Kompeni Batalion ke-18 PPH Limbang, sebelum dinaikan ke pangkat Sub Inspektor (SI) pada 1Januari 1991 dan menjawat jawatan Hal Ehwal Kebajikan di Ibu Pejabat Polis Miri (IPD Miri).

Ngalinuh bersara daripada perkhidmatan polis pada 31 Disember 1995 dan menetap di Kampung Lusut, Miri.

Beliau berperanan penting dalam menumpaskan militan komunis pada tanggal 29 April 1972, ketika mengiringi sekumpulan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) membawa bahan letupan untuk pemecahan batu ke sebuah kuari di Jalan Ulu Oya, Sibu.

Dalam perjalanan, Ngalinuh bersama empat enggota keselamatan telah diserang hendap pengganas.

Dalam pertempuran itu, Ngalinuh mendapat kecederaan pada peha kanan, dan pada masa yang sama, beliau berjaya membunuh salah seorang pengganas.

Keberanian dan kecekalan beliau semasa pertempuran tersebut berjaya mengusir militan komunis dan menyelamatkan rakan-rakannya.

Ekoran keberanian beliau sewaktu pertempuran tersebut, pada 6 Julai 1972, Ngalinuh telah dianugerahkan dengan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang di-Pertuan Agong.-DayakDaily

Destinasi terakhir, keranda mendiang Ngalinuh diturunkan selepas upacara pembacaan doa dilakukan.