Wira negara, Ngalinuh Bala diberi penghormatan terakhir

Isteri mendiang, Sabit Iwat @Sinah Ngelinuh Bala, 73, meratapi jasad suami nya ketika upacara penghormatan pada pagi Jumaat.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 Jun: Jasad mendiang Sub Inspektor (B) Ngalinuh Bala, 79, diberi penghormatan terakhir di gereja kristian Sidang Injil Borneo (SIB) Bukit Kanada di sini pagi Jumaat sebelum disemadikan di tanah perkuburan Kristian SIB Lambir.

Terdahulu, keranda yang membawa jasad pahlawan negara itu, yang dibaluti bendera Jalur Gemilang, telah dibawa dari kediamannya di Kampung Lusut ke Gereja SIB Bukit Kanada untuk upacara penghormatan.


Keranda yang membawa jasad penerima pingat Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), anugerah keberanian tertinggi di Malaysia, itu sampai di perkarangan gereja SIB Bukit Kanada oleh lapan orang pengusung yang terdiri daripada anggota polis daerah Miri diketuai Sub Inspektor Thamilvanan Narayanan.

Anggota dari IPD Miri diketuai Sub Inspektor Thamilvanan Narayanan membawa keranda mendiang masuk ke gereja SIB Bukit Kanada untuk acara penghormatan negeri.

Acara bermula jam 9 pagi turut dihadiri bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Gerawat Gala dan dif dif kehormat lain termasuk ketua ketua jabatan kerajaan, antaranya Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan bekas Panglima Medan Timur Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.

Mendiang Ngalinuh akan disemadikan di tanah perkuburan Kristian SIB di Lambir pada jam 3 petang ini, selepas upacara keagamaan di Gereja SIB Bukit Kanada yang bermula jam 11 pagi.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 6.47 petang Selasa (23 Jun) di Hospital Miri kerana komplikasi paru paru dan kencing manis.-DayakDaily

Rakan seperjuangan mendiang Ngalinuh turut hadir memberikan penghormatan terakhir.