Pahlawan negara, Ngalinuh Bala, meninggal dunia

Ketua Polis Sarawak Dato Aidi Ismail ketika ditemui media hari ini di kediaman mendiang di Kampung Lusut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 JUN: Pahlawan negara, Sub Inspektor (B) Ngalinuh Bala, 79, meninggal dunia petang Selasa (Jun 23).

Ketua Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika ditemui pada Rabu selepas membuat kunjungan ke rumah mendiang di Kampung Lusut berkata bahawa Ngalinuh, akan diberikan penghormatan negara apabila dikebumikan pada Jumaat (26 Jun) di tanah perkuburan Kristian SIB Lambir.


Ngalinuh yang meninggal dunia di Hospital Miri, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.07 petang Selasa.

Beliau meninggal seorang balu Sabitlwat@Sinah Ngalinuh, lima anak, sembilan cucu dan satu cicit.

Ngalinuh, yang berbangsa Kelabit, telah bersara daripada perkhidmatan polis pada Disember 31, 1995, dan menetap di Kampung Lusut, Miri. Dia merupakan salah seorang penerima pingat Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), pingat keberanian tertinggi negara, pada 6 Julai 1972 daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dilahirkan pada 1 Januari 1941 di Kampung Pa Lungan, Bario, mendiang telah menerima pendidikan sehingga Darjah Enam.

Beliau mula berkhidmat pada 14 Januari 1961, sebagai Special Constable (SC) dan telah berkhidmat di Batalion ke 18 Pasukan Polis Hutan (PPH) Miri sebelum dipindahkan ke Batalion ke 15 Pasukan Polis Hutan Sibu pada Januari 1980.

Pada 1990, beliau sekali lagi berpindah ke Delta Kompeni Batalion ke 18 PPH Limbang Sarawak dan dinaikkan pangkat Sub Inspektor pada 1 Januari 1991 dan memegang jawatan Hal Ehwal Kebajikan di Ibu Pejabat Polis Miri (IPD Miri).

Pada 29 April 1972, Ngalinuh, yang pada ketika itu masih berpangkat koperal, telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis semasa membawa bahan letupan untuk pemecahan batu dari Batu 14 ke kuari Mubal Batu 54 Oya Sibu.

Ngalinuh dengan berani menyerbu ke tempat musuh sehingga akhirnya dapat membunuh salah seorang pengganas komunis.

Malangnya beliau mendapat kecederaan di peha kanan akibat tembakan musuh.

Semangat berani Ngalinuh berjaya bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa pekerja JKR malah rakan-rakannya dan sekaligus mengusir pengganas komunis semasa pertempuran.

Di atas keberanian tersebut, mendiang telah dianugerahkan dengan pingat SP pada 6 Julai 1972 oleh Yang di-Pertuan Agong.—DayakDaily

Aidi (kiri) bersama salah seorang anak mendiang. Turut dilihat,
isteri mendiang, Sabitlwat@Sinah Ngalinuh.