Majlis sosial dibenarkan mulai 1 Julai 2020: Ismail Sabri

File photo of Ismail Sabri addressing a press conference on Covid-19.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, JUN 24: Kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial dengan had tempoh 3 hingga 5 jam mulai 1 Julai 2020.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, majlis sosial yang dibenarkan merangkumi kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan.


“Majlis-majlis lain yang berkaitan dengan ugama juga dibenarkan iaitu seperti majlis tahlil, akad nikah, doa selamat, hari ulang tahun perkahwinan, harijadi, reunion dan lain-lain.

“Walaubagaimanapun, kita menghad dari segi masa agar tidak terlalu lama dan dibenarkan penganjurannya selama 3 hingga 5 jam,” katanya.

Ismail berkata demikian pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, keputusan dibuat pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara(MKN) pada semalam.

Namun jelas Ismail, kapasiti kehadiran masih lagi kekal iaitu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan ia juga tertakluk kepada saiz ruang tempat majlis diadakan.

Katanya, jika saiz ruang tempat itu kecil dan untuk mematuhi penjarakan sosial 1 meter, ia mesti berdasarkan kepada jumlah yang dibenarkan mengikut saiz ruang.

Berhubung penyajian makanan, Ismail mengalakan penganjur untuk melaksanakan secara hidangan manakala kaedah buffet tidak dibenarkan.

“Buffet tidak dibenarkan, namun kita boleh melonggarkannya dengan kaedah makanan dihidangkan oleh pramusaji kepada pengunjung atau tetamu.

“Yang terbaik, kita cadangkan secara hidangan,” ujar beliau.

Ismail turut menekankan prosedur operasi standard(SOP) lain yang harus dipatuhi iaitu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk dimana tetamu yang hadir perlu diperiksa suhu badan.

Mereka yang bergejala seperti batuk, demam dan selesema tidak dibenarkan masuk dan penganjur digalakan mendaftar tetamu menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan secara manual.—DayakDaily