Jaul tinjau pematuhan SOP pejabat kerajaan di Sarikei

Jaul (kiri) pada tinjauan pematuhan SOP di Pejabat Daerah Sarikei.

KUCHING, Jun 24: Setiausaha kerajaan negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion mahukan kaunter perkhidmatan di pejabat-pejabat kerajaan mengutamakan keselesaan pelanggan.

Katanya, ia penting khususnya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Ogos 31 ini.

“Selain memastikan keselamatan dan kebersihan, keutamaan kepada keselesaan pelanggan juga perlu dititikberatkan khususnya semasa PKPP,” katanya ketika meninjau operasi pejabat-pejabat kerajaan di Wisma Jubli Mutiara, Sarikei semalam.


Objektif utama tinjauan adalah untuk memastikan pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) pengoperasian pejabat kerajaan dalam mengamalkan norma baharu.

Beliau memulakan tinjauan ke Pejabat Residen sebelum ke Pejabat Daerah dan seterusnya ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pada kesempatan itu, Jaul turut mendapatkan perkembangan dan situasi semasa pejabat dan jabatan terutama berkaitan pengurusan serta pengoperasian.

Sebelum di Sarikei, beliau juga telah melakukan tinjauan yang sama di beberapa bahagian lain.

Turut hadir Residen Sarikei Felicia Tan Ya Hua. — DayakDaily