Ops Tapis: 24 ditangkap terlibat kegiatan dadah di Kuching

Anggota operasi melakukan pemeriksaan ke atas suspek yang ditangkap.

KUCHING,6 April: Seramai 24 individu disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah ditangkap menerusi Ops Tapis yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada Isnin (5 April) lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata tangkapan dilakukan hasil operasi bersepadu di sekitar bandaraya ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau memberitahu, terdapat empat kawasan sasaran di daerah Kuching iaitu antaranya di Petra Jaya, Santubong dan Bintawa.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun di Santubong pada jam 10.20 pagi bersama 30 peket plastik lut sinar berisi dadah jenis methamphetamine seberat 19.67 gram.

“Tangkapan kedua di Petra jaya pada jam 10.15 pagi terhadap seorang lelaki dengan rampasan lapan peket plastik lut sinar dan 13 tiub straw berisi dadah methamphetamine serta empat peket strip ‘silver’ berisi lapan biji pil Erimin 5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Merbin, operasi terbabit turut berjaya merampas dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM2,773.

“Manakala 18 lelaki dan empat wanita berumur lingkungan 15 hingga 45 tahun yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan di sekitar kampung Bintawa dan Santubong,” katanya lagi.

Anggota operasi melakukan pemeriksaan ke atas suspek yang ditangkap.

Dua suspek yanb ditangkap memiliki dadah dan rampasan dadah dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 39A(1) ADB 1952 dan Sek. 12(2) ADB.

“Suspek yang lain ditahan dibawah seksyen Sek. 15(1)(a) ADB 1952,” kata Merbin.

Beliau turut menyeru masyarakat menyalurkan maklumat jika terdapat masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing agar membolehkan pihak polis mengambil tindakan segera.

“Hasil daripada operasi bersepadu ini “pusher” telah dikenalpasti dan akan diambil tindakan selanjutnya.

“Selain itu, operasi ini boleh memberi impak yang besar dalam usaha menangani isu dadah di daerah Kuching,” ujar Merbin. — DayakDaily