Tiga lelaki ditahan di Bau, positif methamphetamine

Gambar ketiga-tiga suspek yang sedang disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

KUCHING, 6 April: Tiga lelaki dari Kampung Segubang, Bau ditahan semalam setelah didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut Ketua Polis Bau DSP Poge Nyaon, polis turut memohon tahanan reman terhadap seorang suspek berusia 23 tahun untuk siasatan lanjut setelah didapati memiliki satu peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal putih disyaki dadah berbahaya.

“Semasa menjalankan rondaan malam di Kampung Segubang, anggota telah membuat pemeriksaan serta menahan tiga lelaki dan seterusnya membuat pemeriksaan.


“Semasa pemeriksaan lanjut di bahagian tubuh, suspek berumur 23 tahun kelihatan hendak menyembunyikan sesuatu dari tangan dan diminta untuk menyerahkan kepada pihak polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu kotak rokok dan diperiksa mengandungi satu peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal putih disyaki dadah berbahaya,” kata Poge dalam satu kenyataan hari ini.

Serbuk methamphetamine seberat 0.3 gram dengan anggaran nilai rampasan RM60 ditemui pada suspek.

Tambah Poge, pihak polis merampas kotak rokok dan bahan dadah berkenaan. Kes itu disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu beliau berkata, pemeriksaan selanjutnya terhadap suspek yang berumur 21 tahun dan 18 tahun tidak menemukan apa apa jenis dadah berbahaya.

Katanya, ketiga-tiga suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk ujian saringan awal air kencing dan kesemuanya dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily