Operasi SAR cari pekerja feri jatuh sungai masih gagal kesan mangsa

Pasukan SAR giat melakukan kerja-kerja mengesan mangsa.

BINTULU, Feb 9: Meskipun berdepan cabaran banjir, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja feri yang hilang selepas terjatuh dalam Sungai Kemena masih diteruskan hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata operasi yang memasuki hari ketiga masih gagal menemui mangsa, Salman Hassan, 44.

Katanya, kaedah pencarian di permukaan sungai telah diperluaskan sejauh 11 kilometer dari hulu dan hilir sungai tersebut.


“Setakat pukul 5 petang ini, mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditangguhkan dan akan disambung esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, operasi SAR tersebut juga disertai oleh polis Marin, Rela dan penduduk kampung. — DayakDaily