Pemuda PBB risau kualiti pendidikan murid luar bandar akan ketinggalan

Dato Sri Fatimah Abdullah dan Gerald Rentap Jabu.

KUCHING, Feb 9: Pergerakkan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meluahkan kebimbangan terhadap kualiti pendidikan yang diberikan kepada murid sekolah rendah di kawasan luar bandar negeri ini.

Ketua Pemuda PBB, Gerald Rentap Jabu mendedahkan bahawa ketika ini, keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid sekolah rendah di kawasan luar bandar bukanlah sesuatu yang dapat dibanggakan semua pihak.

“(Ketua Pergerakkan Wanita PBB) Dato Sri Fatimah Abdullah juga bersetuju dengan saya yang keputusan UPSR pun tiada ada apa yang hendak ditunjukkan (sekolah rendah di luar bandar) kepada kami (bagi dapat dibanggakan),” katanya ketika mengadakan sidang media bersama Fatimah selepas majlis perasmian Perhimpuan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.


Gerald sehubungan itu menegaskan yang pada perhimpunan terbabit, Pemuda PBB akan mengusulkan mengenai menambahbaikan kualiti pendidikan kepada anak penduduk luar bandar negeri ini dan juga menambahbaik sekolah usang sedia ada.

“Ini (keputusan UPSR) menyebabkan amat sukar bagi murid sekolah di luar bandar maju ke peringkat seterusnya; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pun mereka tidak dapat masuk dan menunjukkan betapa teruknya perkara ini dan perlu ditambah baik,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Fatimah berkata mereka berazam menambah keahlian wanita parti itu yang masih kurang seimbang berbanding keahlian lelaki.

“Kalau kita lihat jumlah keahlian PBB berdaftar sehingga Disember 2017, untuk badan bapa ada keahlian seramai 323,043 orang manakala Pergerakkan Wanita ada keahlian seramai 153,962 orang,” katanya.

Fatimah berkata ketika ini Pemuda PBB pula mempunyai keahlian seramai 36,068 orang dan keahlian mereka akan berpindah ke Pergerakkan Bapa PBB sekiranya sudah mencapai usia 45 tahun.

“Maka bilangan keahlian wanita yang ada sekarang ini harus ditambah, namun bukan sahaja menambah bilangan ahli wanita tetapi juga keahlian parti PBB secara amnya demi kelangsungan parti ini,” katanya.

Disamping menambah keahlian parti, Wanita PBB juga akan melaksanakan agenda besar bagi memastikan ahli PBB sedia ada kekal dengan parti itu dan tidak mudah goyah serta berpindah ke parti lain.

Disamping itu, beliau mendedahkan Wanita PBB dalam perhimpunan terbabit akan mengusulkan wanita di negeri ini diberikan peluang mendapatkan pendidikan dan peluang menceburi bidang ekonomi yang sama dengan lelaki. — DayakDaily