Operasi pesawat Bombardier di Sri Aman berjaya

Mohd Zubil (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (Sept 23, 2019). Turut kelihatan Tiong (duduk kiri) dan Teh (duduk kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 23: Operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Sri Aman, Sarawak oleh pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan berjaya.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato Mohd Zubil Mat Som berkata operasi ‘water bombing’ yang dilakukan semalam dan hari ini menekankan usaha memadam kebakaran hutan.

“Ya, saya boleh katakan yang operasi telah berjaya. Tetapi ia tidak bermaksud yang jerebu akan hilang kerana puncanya adalah dari Riau dan Kalimantan.

“Keutamaan kita adalah untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya,” kata Mohd Zubil pada sidang media di Dewan Satria, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuching hari ini.

Mengulas mengenai operasi pemadaman pada hari ini, Mohd Zubil berkata pesawat Bombardier CL-415 telah melakukan penerbangan selama 3 jam setengah iaitu berlepas pada jam 8.20 pagi dan kembali pada jam 11.50 pagi.

Katanya, operasi ‘water bombing’ hari ini dilakukan di sektor 3 iaitu lebih kurang 31 kilometer dari Bandar Sri Aman.

“Sebab semalam kita dah buat operasi di sektor dua dan berjaya memadamkan 95 peratus kebakaran.

“Dan hari ini kita lakukan operasi di sektor yang lebih kurang 31 kilometer dari Sri Aman dan telah menggugurkan sebanyak 108,000 liter air.

“Keberkesanan operasi hari ini adalah 80 peratus dan saya yakin pihak Bomba ( Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) pada hari atau esok boleh memadamkan kebakaran sepenuhnya,” ujar Mohd Zubil.

Sepanjang tempoh dua hari operasi, tambah beliau, pesawat Bombardier CL-415 telah melakukan 11 jam penerbangan dengan 35 ‘drop’.

Beliau juga yakin pihak Bomba boleh memadamkan kebakaran kecil di sektor dua iaitu melibatkan 1.5 ekar tanah gambut di Kampung STC, Jalan Kejatau di Sri Aman.

“Untuk operasi esok, kita terlebih dahulu lihat perkembangan petang ini dan pada jam 7 pagi esok kita akan buat sesi penerangan.

“Sekiranya pada petang ini atau pagi esok hujan, saya jangka seluruh api akan padam dan sekarang pun tiada titik panas lagi,” katanya.

Turut hadir pada sidang media Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii dan Pengarah APMM Sarawak Laksamana Robert Teh. — DayakDaily