Operasi memadam kebakaran tanah gambut dekat Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup memasuki hari ke-18

Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran tanah gambut berdekatan Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup yang bermula Ogos 1 lepas.

KUCHING, Ogos 18: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak masih meneruskan operasi memadam kebakaran tanah gambut berdekatan Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup yang bermula sejak Ogos 1 lalu.

Menurut JBPM Sarawak menerusi satu kenyataan hari ini, operasi itu dilakukan Balai Bomba Lopeng dan turut dibantu syarikat Naim Development.

Pasukan Naim menjalankan kerja-kerja pemadaman mengunakan kaedah pam pasir di sektor 2 manakala Bomba Lopeng di sektor 1.


Kebakaran tanah gambut di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup melibatkan keluasan 20 hektar dan sebahagian daripadanya telah pun berjaya dipadam.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat dan laporan polis telah dibuat syarikat Naim Development.

Ia berikutan penemuan tombol pintu yang diikat dengan rumput kering yang dipercayai dilontarkan ke dalam belukar bagi mencetuskan kebakaran.

Pasukan Naim membantu memadam kebakaran berdekatan Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup dengan kaedah pam pasir.

Sementara itu, JBPM Negeri turut meneruskan operasi memadam kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri menggunakan pesawat ‘Bombardier CL-415’ hari ini.

Operasi tertumpu di sektor 1 dan 3 dengan dua penerbangan dilakukan hari ini.

JBPM Negeri melalui kenyataan hari ini turut memaklumkan tiada kes kebakaran belukar/tanah gambut baharu di seluruh bahagian setakat jam 12 tengahari ini.

Sejumlah 525 kes dilaporkan dalam tempoh Ogos 1 sehingga hari ini yang melibatkan keluasan 1,426 ekar.

Namun demikian, JBPM Negeri masih meneruskan operasi memadam di Kampung Sedi (Pulau Bruit), di Kampung Tuie dan Kampung Supak (Betong), di Taman Harmoni (Sri Aman), di Jalan Marudi-Miri dan Kuala Baram. — DayakDaily