Op Dadu: Polis Sarawak serbu 1,381 premis perjudian dan tangkap 1,826 orang sejak Januari

Mohd Azman (tengah) bercakap dalam sidang media tersebut.

KUCHING, 22 Ogos: Sejak Januari hingga 19 Ogos baru-baru ini, Polis Kontinjen Sarawak telah menyerbu 1,381 premis perjudian dan menangkap 1,826 orang di seluruh negeri di bawah Op Dadu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi Op Dadu Khas pula yang diadakan sejak 14 Julai lalu telah berjaya mencatatkan 344 serbuan dengan 387 tangkapan.

Katanya, jumlah rampasan pula adalah sebanyak RM462,072 bagi keseluruhan operasi dan RM47,705 bagi Op Dadu Khas.


“Bagi Op Dadu Khas, sebanyak 344 kertas siasatan telah dibuka dengan 125 kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan telah dituduh di mahkamah dengan pelbagai seksyen kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Kontinjen Sarawak merupakan keempat tertinggi melakukan serbuan berjaya Op Dadu di seluruh negara dengan jumlah serbuan sebanyak 1,381 serbuan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya bagi Op Dadu Khas, 251 suspek yang ditangkap adalah lelaki dan 136 lagi adalah wanita.

“Jumlah tangkapan ini melibatkan sebanyak 360 warga tempatan dan 27 lagi warga asing dengan anggaran umur 20 hingga 63 tahun,” katanya.

Jelasnya jenis-jenis perjudian yang dibanteras di bawah Op Dadu Khas ialah perjudian dalam talian, penjualan loteri awam secara haram, sabung ayam dan berjudi di tempat awam atau terbuka.

Justeru untuk membasmi kegiatan perjudian ini secara total, pihak polis turut bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan memotong bekalan elektrik premis-premis perjudian ini.

“Secara keseluruhan, sebanyak 156 premis telah dipotong bekalan elektrik di bawah Seksyen 21A ARJT 1953.

“Selain itu, kita juga telah mengenal pasti sebanyak 38 laman sesawang perjudian ini dan telah menghantar kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sekatan,” katanya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Lukas Aket. — DayakDaily