Dua lelaki warga asing dibawa ke hospital selepas terjun dari tingkat satu semasa serbuan polis

Anggota Bomba bersama staff Kementerian Kesihatan Hospital Miri di lokasi memberikan rawatan kecemasan setibanya di lokasi kejadian.

By Brad Rantayy

MIRI, 22 Ogos: Dua lelaki warga asing nekad terjun dari tingkat satu sebuah bangunan di Tudan pada tengahari hari ini, dipercayai dalam cubaan melarikan diri semasa serbuan pihak polis.

Difahamkan, dua lelaki tersebut berusia dalam lingkungan 30-an telah bertindak terjun semasa serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di kawasan itu.


Pemangku Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 1.43 petang bagi membantu melakukan khidmat khas mengangkat kedua-dua mangsa ke dalam ambulans.

“Kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan pada kaki dan pinggang,” ujarnya.

Operasi tamat pada jam 2.40 petang. — DayakDaily