Oleh Chris Bishop
KUCHING, OGOS 20: Karnival Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) 2019 di Kuching menjana hasil jualan tiga kali ganda dibanding karnival yang sama pada tahun yang lepas.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata pencapaian itu adalah hasil penglibatan pemain industri dari negara luar.
“Jumlah penglibatan peserta untuk karnival tahun ini telah meningkat dan hasil jualan di sepanjang 7 hari karnival meningkat tiga kali ganda dibanding tahun lepas.
“Pada kali ini, karnival merekod jualan RM300,000 dibanding RM100,000 pada karnival yang sama tahun lepas,” katanya.
Len berkata demikian di Majlis Penutup Karnival Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) 2019 di Waterfront, Kuching hari ini.
Karnival yang berlangsung selama seminggu itu bermula pada 14 ogos lepas dan turut disertai pemain industri dari negara Indonesia, Laos, Nepal, Filipina, Cambodia dan Sabah.
Tambah Len, karnival merupakan program Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk membantu para pemain industri terutama yang tinggal di luar bandar.
“Karnival merupakan pendekatan JHS untuk melihat bagaimana sumber-sumber yang banyak ini boleh membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat di luar bandar,” katanya.
Disamping itu, Len juga menekankan keperluan untuk melakukan tanamam semula sumber-sumber NTFP.
Katanya, kebergantungan kepada hasil kutipan dari hutan tidak seharusnya diamalkan kerana ianya akan berkurangan suatu hari nanti.
“Kita mesti bermula dengan membuka kawasan penanaman semula sumber-sumber ini.
“Dengan program penyelidikan dan pembangunan yang berterusan, sumber-sumber ini akan terus berkekalan,” katanya.— DayakDaily