Naroden: Bank-bank harus mengamalkan perkhidmatan sosial masa PKP

Datuk Mohd Naroden Majais

KUCHING, 25 April: Bank-bank tidak harus memikirkan hal viabiliti dan keuntungan semata mata tapi harus mengesyorkan sokongan tanggungjawab sosial mereka kepada usaha kerajaan membantu rakyat dikawasan luar bandar, kata Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan Datuk Naroden Majais.

Beliau turut menyokong seruan dan rayuan beberapa wakil rakyat terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang mewakili kawasan luar bandar termasuk Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing, supaya perkhidmatan perbankan harus dipertingkatkan lagi kepada kawasan luar bandar.

“Sekurangnya perkhidmatan bank bergerak ataupun perkhidmatan ATM di tambahkan ataupun diperkenalkan terutama ke kampung-kampung sederhana besar dipendalaman,” kata Naroden dalam satu kenyataan hari ini.


Naroden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong, berkata, memang di pekan-pekan di beberapa daerah kebanyakan mereka sudah ada sebuah atau dua buah cawangan kecil bank tertentu.

“Tetapi dalam keadaan sekarang, perkhidmatan mereka tidak dapat menampung keperluan rakyat. Ini kerana rakyat yang tinggal diluar pekan ibu daerah termasuk di kampung-kampung dalam daerah kecil dan luar daripada daerah kecil adalah lebih banyak lagi daripada yang tinggal dalam pekan daerah mahupun dalam daerah kecil tertentu,” jelas beliau.

Naroden mengatakan jumlah penduduk diluar pekan-pekan daerah yang bekerja dalam ladang kelapa sawit sudah pastinya mencecah ribuan orang.

“Jumlah pekerja ladang di Sarawak telah dijangka tidak kurang daripada 300,000 orang. Jumlah ini belum termasuk penduduk yang tidak bekerja dalam ladang-ladang tersebut.

“Dan majoriti para pekerja ladang ini terdiri daripada pekerja asing dari negara Jiran. Maka sudah pasti mereka memerlukan perkhidmatan bank untuk urusan kewangan mereka. Tambah lagi waktu pada PKP ini, keperluan berurusan melalui bank amat meningkat,” jelas beliau.

Maka kehadiran orang ramai terus meningkat di cawangan-cawangan bank-bank di pekan-pekan terdekat dengan kedudukan mereka.

“Malah didalam bandar sekali pun, di ATM di Taman Hamidah di depan rumah saya di Demak Kuching ini sekalipun, saya sendiri bersusun selama setengah jam sebelum sampai ke ATM tersebut.

“Dan di kampung saya di Gedong sebagai contoh, mempunyai penduduk hampir 8,000 orang dan ini belum termasuk tidak kurang 4,000 orang perkerja di ladang-ladang berhampiran. Mereka hanya boleh berurusan di bank di pekan Serian dan Simunjan. Tapi dalam keadaan PKP sebegini, mereka susah nak merentasi daerah lain untuk berurusan,” kata Naroden.

Justeru, Naroden menyeru agar pihak bank tempatan, ataupun pihak Kementerian Kewangan dan Bank Negara memikirkan cara terbaik bagaimana untuk memberi perkhidmatan yang sedikit lebih selesa kepada para penduduk luar bandar.— DayakDaily