Perang menentang Covid-19 belum berakhir, Dr Noor Hisham

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, APRIl 25: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat bahawa peperangan menentang Covid-19 masih belum berakhir.

Justeru kata beliau, sikap alpa dan ambil mudah masyarakat dibimbangi boleh menyebabkan peningkatan kembali kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Seperti yang dilaporkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, terdapat segelintir masyarakat masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Diperhatikan juga penduduk di zon hijau mula mengambil mudah situasi tiada kes baharu yang dilaporkan dan ini sebenarnya merisaukan Kementerian Kesihatan.

“Virus Covid-19 adalah musuh bersama namun harus diingatkan bahawa kelalaian dan sikap ambil mudah masyarakat adalah sekutu kepada virus ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, masyarakat perlu mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain di samping mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.

Pada sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa kapasiti harian makmal Covid-19 negara setakat 24 April telah dipertingkatkan kepada 16,385 ujian sehari.

“Jadi keupayaan untuk melaksanakan ujian RT-PCR adalah 16,380 untuk setiap hari,” katanya.— DayakDaily