Covid-19: 99 kes pulih dengan 51 kes baharu dan dua kematian

Dr Noor Hisham fielding questions from the press.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, APR 25: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pertambahan 99 kes pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 3,762 kes.


Katanya, ia bersamaan 65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 25 April 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 51 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,742 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,882 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU). Daripada jumlah tersebut, 16 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Malaysia merekodkan dua kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 98 kes, iaitu bersamaan 1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-97 (kes ke-2,354) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 April 2020 jam 3.53 pagi,” ujar beliau.

Manakala kes kematian ke-98 (kes ke- 2806) tambah Dr Noor Hisham adalah merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latarbelakang penyakit darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1,346 yang merupakan anak beliau.

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 24 April 2020 jam 5.43 petang,” katanya.—DayakDaily.