Nanta: Belanjawan Negeri inklusif, mampu perkasa semula ekonomi

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 11 Nov: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan Belanjawan 2021 Sarawak sebagai inklusif dan menepati keperluan semasa, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi berikutan penularan pandemik Covid-19.

Di samping itu, katanya, belanjawan ‘surplus’ itu membuktikan Sarawak mempraktikkan amalan sistem pengurusan kewangan yang baik dan jelas memperlihatkan persiapan rapi menghadapi fasa pasca Covid-19.

“Ia turut meletakkan Sarawak di landasan tepat untuk terus menarik pelaburan antarabangsa, selain meningkatkan keyakinan institusi kewangan asing terlibat di dalam pembangunan pelbagai sektor industri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas belanjawan negeri itu, Nanta berkata, Sarawak mencatatkan lebihan belanjawan sebanyak RM180 juta selepas mengambil kira perolehan hasil RM10.012 bilion dan perbelanjaan RM9.832 bilion.

Justeru, katanya, ia mampu menghasilkan impak positif terhadap usaha memperkasakan semula ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyatnya.

“Ia jelas memperlihatkan keupayaan kerajaan Sarawak membina satu kerangka ekonomi yang jitu walaupun berdepan pelbagai kekangan akibat penularan Covid-19.

“Ini termasuk meneroka pelbagai peluang ekonomi baharu dalam mendukung usaha pemulihan dan kelestarian ekonomi yang mampu memberi banyak manfaat kepada Sarawak pada masa depan,” ujar beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tambah Nanta, Belanjawan 2021 Sarawak turut memperlihatkan komitmen berterusan terhadap usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, ia dilihat melalui penyediaan kerja-kerja pengukuran tanah NCR, dana pinjaman membina dan membaik pulih rumah panjang serta menaiktaraf sekolah usang, khususnya di kawasan luar bandar.

Selain itu, jelas Nanta, kebijaksanaan Ketua Menteri dan barisan kabinet GPS telah berjaya meneroka sumber kewangan baharu dan dengan disokong sumber ekonomi sedia ada, berjaya meningkatkan pendapatan negeri.

“Ia boleh dimanfaatkan bagi melengkapkan seluruh negeri dengan kemudahan asas seperti jalan raya, air bersih, elektrik, dan sistem telekomunikasi, seterusnya mampu merangsang daya tahan ekonomi, termasuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

“Penyediaan segala kemudahan infra ini tentunya membuka lebih banyak saluran pemasaran pelbagai produk keluaran tempatan, termasuk ke peringkat antarabangsa.

“Ini berupaya melahirkan lebih ramai usahawan baharu terutama di kalangan anak muda melalui pembabitan dalam sektor agro-tani dan industri makanan untuk keperluan domestik dan eksport,” kata Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Nanta percaya belanjawan negeri menyediakan pelan tindakan strategik yang menyeluruh ke arah mendukung matlamat menjadi Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. — DayakDaily