Nancy: Kemajmukan dan keharmonian Sarawak dicontohi negeri lain

Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, Jun 4: Perpaduan erat dan sikap tolenrasi di antara kepelbagaian etnik dan agama di Sarawak menjadi model kepada negeri lain di Malaysia.

Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri berkata negeri-negeri lain telah lama menjadikan kemajmukan dan keharmonian negeri Sarawak sebagai sesuatu yang dicontohi dan juga dicemburui.

“Kejayaan kita dalam hal ini membuktikan bahawa hubungan baik antara etnik boleh dicapai dengan pengamalan nilai-nilai murni seperti toleransi, saling menghormati, dan menjadikan perbezaan dan kepelbagaian antara kaum sebagai kekuatan, bukan kelemahan.


“Selama ini, kita disatukan bawah naungan bendera negeri Sarawak yang merupakan identiti utama, ‘Sarawak First’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan khas Hari Gawai Dayak, dan Hari Raya Aidilfitri 2019 yang akan disambut esok di seluruh negara.

Tambah Nancy, pada tahun 2019 ini, rakyat Sarawak dapat menyambut Gawai Dayak dan Hari Raya dalam minggu yang sama semenjak tahun 1987.

Perayaan Gawai-Raya, ujar beliau, adalah sangat unik kerana ia jarang berlaku.

Hasil gabungan kedua-dua perayaan juga memberi peluang kepada anak Sarawak yang bekerja atau berada di rantau asing untuk kembali ke kampung halaman dan bersama dengan keluarga tercinta.

“Sambutan Gawai-Raya turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti perayaan seperti rumah terbuka, majlis makan, tarian joget dan karaoke.

“Ianya unik dan istimewa kerana kepelbagaian etnik dan agama di Sarawak telah hidup bersatu-padu, harmoni dan penuh toleransi,” katanya.

Walaubagaimanapun, ujar beliau, pencapaian ini tidak boleh diabaikan dan rakyat Sarawak harus sentiasa berwaspada terhadap unsur-unsur luar yang cuba menyemai bibit-bibit kebencian dan perselisihan antara kaum dan penganut pelbagai agama di Sarawak.

“Perayaan Gawai dan Raya merupakan peluang untuk kita melupakan perbezaan dan mencari titik persamaan bagi mengeratkan lagi hubungan kita dengan jiran-jiran, kawan-kawan dari berlainan etnik dan agama.

“Ambillah kesempatan ini untuk menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung kerana ia merupakan medium terbaik untuk berkumpul sesama masyarakat selain bagi mereka bertegur sapa serta memperbaharui ikatan persahabatan,” katanya. — DayakDaily