SK Long Sobeng dilanda banjir

Kelihatan keadaan banjir di SK Long Sobeng, Miri.

Oleh Dean Adam

MIRI, Jun 4: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sobeng dinaiki air banjir, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 8.30 pagi.


Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, tren air semakin meningkat naik disebabkan kawasan di Ulu Tinjar masih mengalami hujan yang berterusan.

“Antara kawasan sekolah yang terjejas ialah tingkat bawah blok akademik, dewan makan dan bahagian dapur.

“Kemungkinan besar rumah staf di sekolah berkenaan akan dimasuki air sekiranya hujan tidak berhenti,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, buat masa ini tiada sebarang operasi pemindahan dilakukan.

Ini kerana ujarnya, tiada murid dan guru berada di sekolah berkenaan buat masa ini kerana kebetulan cuti pertengahan penggal.

“Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily