MPN PKR Sarawak mendakwa GPS sertai PN

Abun Sui Anyit

KUCHING, Mei 20: Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak mendakwa GPS adalah sebahagian daripada PN.

Menurut Ketua Penerangan dan Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan semalam, teka-teki itu terjawab apabila GPS menandatangani satu Memorandum menyokong penubuhan PN.

“GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang selama ini membuat rakyat Sarawak berteka-teki bahawa mereka bukan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) telah terjawab apabila mereka menandatangani satu Memorandum bersama Umno (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) dan Pas (Parti Islam Se-Malaysia) serta parti–parti gabungan yang lain baru–baru ini.


“Kepura–puraan mereka selama ini telah terjawab dengan kenyataan bersama di dalam Memorandum tersebut,” menurut Abun.

Tambah Abun, bukti seterusnya adalah laporan sebuah akhbar tempatan pada 18 Mei lepas yang memetik kenyataan Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi “It’s true that GPS is part of PN as we feel that PN is more accommodating than Pakatan Harapan (PH),”

Dengan pengesahan oleh Alexander, katanya, ia menunjukkan GPS memang sentiasa bersekongkol dengan Umno dan Pas.

Dalam pada itu, Abun turut mendedahkan bahawa MPN PKR Sarawak memandang serius perbuatan kerajaan Sarawak GPS baru–baru ini yang telah sekali lagi menjual hak Sarawak kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Beliau merujuk kepada kes mahkamah dengan membenarkan Petronas menguasai industri minyak dan gas di Malaysia yang termasuk perairan Sarawak melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA74).

“Kes mahkamah ini antara lain memohon kepada mahkamah untuk membatalkan PDA74.

“Permohonan ini telah ditarikh balik oleh kerajaan Sarawak. Konon jaga hak Sarawak tetapi sebaliknya yang benar–benar berlaku ialah Sarawak hilang hak,” Abun mendakwa. — DayakDaily