Bekalan ayam cukup di sepanjang Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak

Tan (depan, dua dari kanan) bersama anggota KPDNHEP pada lawatan ke ladang pengeluar utama ayam di Kuching semalam (Mei 19, 2020).

KUCHING, Mei 20: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa bekalan ayam adalah mencukupi bagi keperluan untuk bulan Ramadan serta perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak.

Lawatan pemeriksaan terhadap ladang utama pengeluar ayam iaitu K&L Farming Industries Sdn Bhd di Jalan Kuching-Serian semalam mendapati purata pengeluaran ayam adalah 14,000 ekor sehari.

“Selain itu, terdapat dua lagi ladang utama di negeri Sarawak iaitu QL Livestock Farming Sdn Bhd dan Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd dengan purata pengeluaran 8,000 ekor sehari dan 35,000 ekor sehari.

“Bekalan ayam ini cukup untuk menampung keperluan seluruh rakyat negeri Sarawak yang meliputi Bahagian Kuching hingga ke Bahagian Limbang termasuk Lawas,” menurut kenyataan itu.

Lawatan dan tinjauan semalam telah di ketuai oleh Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan.

KPDNHEP turut memaklumkan bahawa harga jualan ayam bersih standard (1kg) bagi tempoh Januari hingga Mei 2020 termasuk di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ialah diantara RM6.90 hingga RM8.50 sekilogram.

Menurut KPDNHEP lagi, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2020 bermula pada 20 Mei hingga 3 Jun 2020 iaitu
selama 15 hari.

Manakala SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak akan bermula pada 28 Mei hingga 3 Jun 2020 iaitu selama tujuh hari.

KPDNHEP mengingatkan peniaga di setiap peringkat supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah dan mengambil keuntungan yang berlebihan.

“Sekiranya didapati peniaga menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000,” menurut KPDNHEP. — DayakDaily