MESTR rancang memberi latihan semula kepada 2,000 guru

Manyin ( empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pelajar sekolah yang memenangi hadiah pertandingan Festival Sains Sarawak sempena Minggu Sains Kebangsaan (MSN) Peringkat Negeri Sarawak.

KUCHING, 30 Sept: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak sedang merancang memberi latihan semula kepada lebih 2,000 guru yang terpaksa mengajar matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah seluruh negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seeri Micheal Manyin Jawong berkata ini kerana guru terbabit hanya terlatih bagi mengajar matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Geografi dan sebagainya yang bukan Matematik dan Sains.

“Menurut Kementerian Pendidikan, mereka memberitahu kami ada lebih 2,000 guru terbabit (di Sarawak) terutama di sekolah rendah yang mengajar Matematik dan Sains yang bukan matapelajaran pilihan mereka (di institusi latihan perguruan).

“Kita tidak boleh menyalahkan guru terbabit kerana mereka dipaksa mengajar matematik dan sains,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Festival Sains Sarawak sempena Minggu Sains Kebangsaan (MSN) Peringkat Negeri Sarawak anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Auditorium Chemsain Konsultant Sdn Bhd di Jalan Rock, hari ini.

Manyin berkata ini juga bukan disebabkan Sarawak kekurangan guru terlatih mengajar Matematik dan Sains tetapi adalah kerana masalah penagihan guru terbabit yang menyebabkan ada kawasan kekurangan dan ada kawasan ramai bilangan guru itu.

“Ini kerana Sarawak ada 651 sekolah kurang murid, jadi mereka (Kementerian Pendidikan) tidak mampu meletakkan setiap sekolah itu dengan semua guru yang hanya mengajar matapelajaran pilihan mereka,” katanya.

Beliau berkata ini ditambah sekolah kurang murid terbabit kebiasaanya di luar bandar dan menyebabkan guru terlatih dan berpengalaman mengajar dua matapelajaran di sekolah itu memohon berpindah ke sekolah di kawasan bandar.

“Setakat ini kami belum memulakannya (latihan semula kepada guru terbabit) , kerana Institut latihan perguruan di negeri ini masih belum lagi menyatakan jumlah peruntukan diperlukan bagi mereka bagi memberikan latihan semula itu,” katanya.

Bagaimanapun, Manyin berkata sebelum ini institut latihan perguruan terbabit ada menyatakan yang secara kasarnya kepadanya yang peruntukkan itu kemungkinan akan mencecah RM7 juta hingga RM9 juta.

Beliau berkata sejurus menerima peruntukan terbabit dari kerajaan Sarawak, pihaknya akan meminta institut perguruan di negeri ini segera mula memberikan latihan semula kepada guru terbabit dan kemungkinan ini dapat dimulakan pada tahun ini.

Manyin berkata latihan semula kepada guru terbabit penting kerana ketika ini Sarawak perlu menambah bilangan pelajar sains tulen kerana ketika ini bilangan mereka kurang 25 peratus sahaja dari keseluruhan pelajar tingkatan empat di negeri ini ketika ini.

“Sarawak sekarang ada kurang dari 25 peratus pelajar tingkatan empat yang mengambil sains tulen manakala seluruh Malaysia pula ada kurang dari 40 peratus pelajar itu ,” katanya dan jumlah terbabit masih kurang dari sasaran sebanyak 60 peratus pelajar terbabit ditetapkan Kementerian Pendidikan. — DayakDaily