Bekas DO beri saingan sengit kepada GPS di DUN Tebedu

Sarawak polls (file photo).

KUCHING, 9 Dis: Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu bakal menyaksikan saingan sengit di antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Setelah penyandangnya Datuk Amar Michael Manyin Jaong mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kerusi tersebut menjadi rebutan calon baharu.

GPS mempertaruhkan Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Simon Sinang Bada, manakala PSB meletakan bekas pegawai daerah (DO) Tebedu Raymond Achen.


Selain GPS dan PSB, turut bertanding ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletakkan Senior William Rade, Parti Bumi Kenyalang (PBK) diwakili Jonathan Lantik dan calon Bebas Roland Bangun.

Tinjauan DayakDaily di Pekan Serian hari ini mendapati pengundi meramalkan persaingan sengit diantara GPS dan PSB, selain kurang memberi perhatian kepada tiga pencabar lain.

“Calon daripada pihak kerajaan GPS ada kelebihan, namun pihak PSB meletakan calon yang popular.

“Beliau (Raymond) bekas pegawai daerah yang sering melawat kampung-kampung di kawasan ini ketika perkhidmatannya.

“Tetapi GPS (Dr Simon) akan menang, mungkin dengan majoriti tipis,” kata salah seorang penduduk Kampung Tebedu Bades Nyuent Ganchi, 62, ketika ditemui.

Nyuent Ganchi

Menurut Nyuent yang merupakan seorang pekebun lada, kawasan Tebedu di era Manyin telah memikmati pelbagai bentuk pembangunan.

Ini, katanya, mendorong rakyat untuk terus memilih GPS walaupun menampilkan calon baharu kerana kerajaan sedia ada terbukti telah membawa pembangunan.

“Kemudahan asas seperti jalan khususnya jalan menuju kampung sudah ada hampir di seluruh perkampungan.

“Kebanyakan perkampungan telah menikmati bekalan elektrik 24 jam, bekalan air dan kemudahan Internet,” ujar Nyuent.

Dalam pada itu, pengundi muda dari Kampung Payau Tebedu, Ferrolen Solden, 28, dan Jameson Barnabas, 26, berkata selesa dengan kerajaan sedia ada yang telah menyediakan pelbagai kemudahan asas.

Oleh yang demikian katanya, calon kerajaan iaitu GPS akan tetap dipilih pada PRN ini.

Dari kiri: Ferollen dan Jameson

Dengan kerajaan sedia ada iaitu GPS telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk Tebedu ditambah dengan faktor Manyin, kerusi DUN Tebedu dijangka kekal dikuasai GPS.

Untuk rekod, Manyin telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu selama 25 tahun sejak 1996.

Malah beliau turut berada di dalam Kabinet Sarawak dan memegang pelbagai portfolio kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Pada PRN11, Manyin menang dengan majorti 6,193 undi menewaskan calon PKR, Alex Saben Nipong yang memperoleh 1,164 undi. — DayakDaily