Mengapa GPS ada kelebihan di kerusi Parlimen Lubok Antu

Bendera GPS, PN dan PSB mewarnai Jambatan Lubok Antu menjelang tarikh mengundi 19 Nov ini.

LUBOK ANTU, 16 Nov: Berbaki 3 hari untuk proses pembuangan undi, kerusi Parlimen Lubok Antu yang menyaksikan pertembungan 4 penjuru terus hangat.

Sehingga kini setelah 10 hari berkempen, tiada kepastian calon mana yang akan membawa suara rakyat ke Parlimen selesai Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) Roy Gingkoi berdepan saingan hebat daripada penyandang Jugah Muyang yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Johnical Rayong dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).


Turut memberi saingan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Langga Lias.

Tinjauan dayakdaily di Pekan Lubok Antu hari ini mendapati suasana PRU15 ini berbeza bagi GPS jika dibandingkan dengan PRU14 pada tahun 2018 lalu.

Suara ramai kedengaran bahawa kini Roy yang mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak berseorangan.

Pada PRU15 ini, PRS mendapat sokongan kuat daripada rakan dalam gabungan khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

PBB Cawangan Batang Ai dan Engkilili sepanjang tempoh kempen telah membantu berkempen di kawasan, rumah-rumah panjang termasuk di Engkari, Nanga Delok dan Ulu Batang Ai bagi memastikan GPS merampas semula kerusi Lubok Antu.

PBB Batang Ai dan Engkilili berusaha menarik seramai mungkin rakyat untuk memberi sokongan seterusnya memilih calon GPS pada hari mengundi, 19 November ini.

Ia dikatakan sesuatu yang jarang berlaku, dikhabarkan pucuk pimpinan PBB telah memberikan arahan agar setiap Cawangan PBB memberi sokongan kuat kepada calon GPS.

Tidak ketinggalan, SUPP Cawangan Engkilili turut berkempen dengan membantu rakan sekutunya PRS.

Jika matlamat menarik seramai mungkin pengundi memilih GPS berjaya, ia sudah pasti memberikan kelebihan kepada GPS.

Dalam pada itu, kembalinya bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak bersama GPS dikatakan turut memberi sinar harapan buat Roy untuk membawa suara rakyat Lubok Antu ke Parlimen.

Nyalau dikatakan masih memiliki pengikut, penyokong yang setia bersama beliau.

Beliau baru-baru ini telah mengumumkan untuk memberi sokongan kepada Roy sebagai calon GPS.

Pada PRU14 lalu, Nyallau menyokong gabungan Jugah (sebagai calon) dan Rayong yang telah berjaya menewaskan calon GPS (Barisan Nasional ketika itu).

Jugah pada PRU14 menang dengan majoriti 1,059 undi dalam persaingan tiga penjuru menegaskan Robert Pasang Alam (BN) dan Nicholas Bawin Anggat (PKR) di Parlimen Lubok Antu.

Faktanya kini, sokongan kepada Jugah pada PRU14 lalu kini berpecah setelah Rayong turut bertanding kali ini.

Dengan faktor sokongan sedia ada, sokongan kuat PBB dan SUPP serta Nyallau, Roy dilihat sebagai calon utama bagi memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu.

Ini sekaligus membawa harapan bahawa GPS mahukan satu kemenangan besar dalam PRU15.

Namun, segala akan terjawab pada malam 19 November ini.

Persaingan masih terbuka antara Roy, Jugah dan Rayong. — DayakDaily