Menara Merdeka 118 bukti pencapaian hebat Malaysia dalam kejuruteraan

Menara Merdeka 118

KUCHING, 30 Nov: Merdeka 118 yang merupakan menara kedua tertinggi di dunia adalah bukti pencapaian hebat Malaysia dalam bidang kejuruteraan.

Malah kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

“Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.


“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan,” kata Ismail pada Majlis Penyempurnaan Puncak Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, pembinaan Merdeka 118 bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana ia akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur.

Ini sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral.

“Pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

“Selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118,” ujarnya.

Berhubung Program Geran Komuniti Merdeka 118, Ismail berkata permohonan telah dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan.

Dengan penyempurnaan puncak menara hari ini, ia meletakkan Merdeka 118, kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan menara tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.

Inspirasi menamakan bangunan ini sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.

Reka bentuk menara sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun yang lalu. — DayakDaily