Melayu Sarawak menerbitkan novel Melayu pertama di dunia — Timbalan Premier

Abang Johari (empat dari kanan) menerima cenderamata dari Awang Tengah di Majlis Samarindok Aidilfitri AKYBMS. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING, 10 Mei: Melayu Sarawak sejak tahun 1876 telah berjaya menerbitkan sebuah karya agung berupa novel Melayu pertama di dunia.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, karya agung tersebut berjudul ‘Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Hingga Mendapat Kesenangan’.

“Naskhah asalnya telah dikesan terperuk di sebuah perpustakaan di Rhodes House of Library di London,” katanya di Majlis Samarindok Aidilfitri Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel di sini, malam ini.


Majlis tersebut telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehingga kini, tambah Awang Tengah yang juga Pengerusi Pemegang Amanah AKYBMS, penerbitan, kajian dan beberapa usaha dokumentasi sedang giat dilaksanakan.

Ia bertujuan bagi untuk melonjakkan naskah tersebut sebagai salah satu pencalonan dalam ‘Memory of The World’ di peringkat dunia dalam daftar United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (Unesco).

“Inilah yang dapat kita pelajari daripada sisi sejarah bahawa nilai ketamadunan yang diwarisi ribuan tahun telah berjaya digali.

“Nilai sejarahnya memberikan impak yang bermanfaat kepada warga Sarawak seluruhnya.

“Bangsa Melayu Sarawak sejak dahulu memiliki ketamadunan skriptorium yang merupakan salah satu daripada ciri-ciri salah sebuah tamadun yang tua, iaitu budaya sejarah bertulis dalam bentuk naskah,” ujar Awang Tengah. — DayakDaily