Pameran seni budaya Sarawak menonjol di Minggu Kraf London — Premier Sarawak

Abang Johari berucap di Majlis Samarindok Aidilfitri Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak. Tangkap skrin dari siaran 'livestream' Unit Komunikasi Awam Sarawak.

KUCHING, 10 Mei: Pameran seni budaya Sarawak telah menonjol di Minggu Kraf yang diadakan di London, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, pada pameran itu Malaysia diwakili Sarawak, Pahang dan Terengganu.

“Dua hari lepas, Sarawak menonjol menerusi pameran seni budaya di London.


“Samada kain songket, keringkam, pua kumbu dan anyaman, kita pamerkan seni budaya warisan Melayu termasuk etnik Iban, Bidayuh dan lain-lain,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian do Majlis Samarindok Aidilfitri Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di sebuah hotel di sini, malam ini.

Tambah Abang Johari, Minggu Kraf London turut dikunjungi pembesar-pembesar yang menghadiri Majlis Pertabalan Putera Charles.

Katanya, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri telah memberi penjelasan kepada pengunjung kepada seni budaya masyarakat Sarawak.

“Seorang Raja yang sangat kagum kepada pameran Sarawak ialah Raja Bhutan dan Permasuri Bhutan,” kata Abang Johari.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. — DayakDaily