MEDAC: Modul perumahan Koperkasa wajar dicontohi

Mohammad (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini. Turut kelihatan Fathi (duduk kiri)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Jun: Modul perumahan yang diperkenalkan Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad harus dicontohi oleh koperasi lain, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Pada sidang media di sini hari ini, Mohammad berkata Koperkasa telah berjaya menyediakan perumahan kepada kakitangan kerajaan di peringkat negeri dan pusat di Sarawak.


“Modul ini sangat baik untuk membantu kakitangan kerajaan di mana kalau kerajaan negeri dapat menyediakan tanah, ia boleh dimanfaat untuk projek perumahan yang diuruskan oleh koperasi.

“Sekurang-kurangnya projek perumahan yang diuruskan oleh koperasi ada jaminan kualiti dan harganya mungkin lebih murah dari harga pasaran.

“Ini perlu kerana terdapat pegawai-pegawai kerajaan yang hanya menyewa rumah sahaja disepanjang tempoh perkhidmatan mereka dan bila pencen rumah tiada,” katanya.

Terdahulu Mohammad mengadakan lawatan kerja ke Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad di Simpang Tiga disini dimana beliau turut mendengar taklimat yang disampaikan Pengerusinya, Fathi Hambali.

Beliau berbangga dengan pencapaian Koperkasa yang berada di kedudukan ke-16 terbaik di seluruh negara dengan keuntungan bersih melebihi RM10 juta setahun untuk tempoh lima tahun ini.

“Koperkasa diiktiraf sebagai koperasi terbaik di Sarawak dan dikedudukan ke-16 terbaik di Malaysia.

“Kita ada lebih 14 624 koperasi di seluruh negara, bila berada di kedudukan ke-16 dari 14, 624 ia adalah pencapaian yang amat mengagumkan,” katanya.

Mohammad juga berbangga dengan kejayaan Koperkasa yang berjaya mendaftar seramai 25,527 ahli di seluruh Sarawak dengan 19,000 adalah ahli aktif.

Beliau percaya kakitangan kerajaan yang menyertai Koperkasa sangat beruntung dan telah menikmati pelbagai faedah.

Mengulas lanjut, Mohammad memaklumkan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada masa ini sedang merangka pelan transformasi koperasi.

Tranformasi itu katanya bukan sahaja memberi penekanan terhadap kebajikan ahli tetapi ingin melibatkan koperasi di dalam bidang perniagaan.

“Menerusi modul perniagaan, koperasi boleh meningkatkan perolehan dan sekaligus meningkatkan faedah yang bakal dinikmati ahli-ahlinya,” ujar beliau lagi.-DayakDaily.