PKR Cabang Mukah sokong Anwar dan Larry

Abdul Jalil Bujang

KUCHING, 14 Jun: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Mukah menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Larry Sng sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak.

Menurut Ketuanya Abdul Jalil Bujang, ketetapan itu dicapai pada mesyuarat AJK Keadilan Cabang Mukah bersama dengan ketua-ketua ranting semalam.

“PKR Mukah juga menggesa kepimpinan tertinggi parti agar tidak berganjak daripada ketetapan untuk menabalkan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.


“Jika Pakatan Harapan (PH) dapat menggembalikan mandat rakyat dan memimpin semula negara,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambah Abdul Jalil, Keadilan Mukah bersedia menerima sesiapa saja ahli parti yang layak dan komited untuk menjayakan agenda parti untuk diangkat sebagai pemimpin.

Katanya, ia dilaksanakan melalui saluran yang sah berdasarkan perlembagaan parti tanpa mengira asal keturunan, kebudayaan dan kepercayaan.

Berhubung usaha pelbagai pihak untuk meruntuhkan PH dengan memecahkan Keadilan, beliau menggesa supaya setiap ahli untuk berdiri teguh dan bersatu.

Setiap ahli katanya harus sentiasa mendapat maklumat yang sahih mengenai perkembangan parti yang merupakan tunjang kepada kekuatan PH.

Abdul Jalil turut berkata bahawa Keadilan Mukah sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Negeri yang dijangka diadakan pada tahun ini.

“Keadilan Mukah sudah bersedia dengan jenteranya dan turut menggesa setiap ahli untuk membantu di kawasan masing-masing,” katanya.-DayakDaily.