MBKS larang penyedut plastik dekat pusat penjaja makanan mula April 1

Datuk Wee Hong Seng (empat kanan) meletakkan pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak pada cermin hadapan bas pelancongan sebagai merasmikan pelekat itu di Bangunan MBKS, hari ini.

KUCHING, 5 Feb: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menguatkuasakan larangan penggunaan penyedut minuman plastik di semua pusat penjaja makanannya di bandar raya ini bermula 1 April depan.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata ini bagi memberikan tempoh waktu mencukupi bagi peniaga pusat penjaja makanan itu mematuhi larangan terbabit dan menghabiskan stok penyedut minuman mereka.

“Kami akan memulakan percubaan larangan (penggunaan penyedut minuman plastik di pusat penjaja makanan MBKS) itu 1 Mac depan. Selepas itu, kami akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan terbabit 1 April depan,” katanya selepas merasmikan pelancaran pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak di Bangunan MBKS, hari ini.


Wee berkata peniaga pusat penjaja makanan itu yang didapati membekalkan penyedut minuman plastik kepada pelanggan selepas larangan terbabit bermula 1 April depan akan dikenakan denda dan ini diputuskan pada mesyuarat MBKS bersama peniaga pusat terbabit dua hari lepas.

Sehubungan itu, pihaknya berharap penduduk bandar raya ini tidak pula memarahi peniaga pusat itu selepas ini kerana enggan memberikan mereka penyedut minuman plastik berikutan bermulanya penguatkuasaan larangan itu seperti yang dikhuatiri peniaga.

“Jadi sekarang kami juga sedang memikirkan membuat satu slogan menarik bagi menjelaskan kepada orang ramai tentang perlunya larangan ini dikuatkuasakan. Salah satu sedang dipertimbangkan ialah ‘lima minit dalam minuman, 500 tahun dalam lautan’,” katanya.

Sementara itu, mengenai kadar denda sebanyak RM50 bagi peniaga yang gagal mematuhi larangan terbabit bermula 1 April depan, Wee berkata kadar denda terbabit hanya sebagai garis panduan bagi memulakan penguatkuasaan larangan itu sahaja.

Katanya kadar denda itu selepas ini akan diselaraskan supaya sama dengan pihak berkuasa tempatan lain termasuk Majlis Perbandaran Sibu yang juga bercadang menguatkuasakan larangan yang sama tidak lama lagi di Bandar Sibu. —DayakDaily

Datuk Wee Hong Seng (tujuh kanan) bersama ahli Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak selepas merasmikan pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 MATTA Sarawak di Bangunan MBKS, Padungan di sini, hari ini.