Masalah bekalan air Kampung Merakai selesai

John (tiga dari kiri) bersama Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak Chang Kuet Shian (dua dari kanan) ketika melancarkan gimik perasmian Projek Utiliti Merakai.

SERIAN, 10 Dis: Masalah sumber bekalan air bersih yang membelenggu penduduk Kampung Merakai kini selesai selepas projek saluran paip baharu sepanjang 12.8 kilometer siap pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, penduduk di kampung tersebut terpaksa bergantung kepada air hujan sebagai sumber air utama mereka.

Menteri Utiliti, Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM5 juta melibatkan pembinaan saluran paip dari Simpang Ladang Gedong ke Kampung Merakai serta pemasangan paip komunikasi untuk 70 buah sekolah dan rumah di kampung terbabit.


“Projek ini yang telah siap sepenuhnya pada penghujung tahun lalu telah memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk di Kampung Merakai ini.

“Dengan siapnya projek ini juga, saya percaya masalah bekalan air yang membelenggu penduduk di sini sejak sekian lama selesai dan penduduk di Kampung Merakai ini kini dapat menikmati bekalan air 24 jam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Utiliti Merakai di sini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus serta Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Chang Kuet Shian.

Tambah Rundi, Kementerian Utiliti dan JBALB sentiasa berkerjasama erat dalam memastikan isu bekalan air dapat diselesaikan melalui perancangan rapi dan sistematik.

Katanya, usaha untuk membekalkan air yang bersih dan terawat perlu dilakukan secara holistik dengan mengambil kira sumber air, tapak loji penapisan air, saluran paip pembekal dan tekanan air yang di perlukan.

“Semua perkara ini perlu dipertimbangkan sebaiknya kerana kita perlu mempertahankan tekanan air tersebut pada tahap yang bersesuaian hinggalah ke hujung kampung agar semua penduduk dapat menikmati bekalan air yang bersih.

“Untuk itu bagi kawasan luar bandar, JBALB membina tangki aras tinggi agar tekanan air ini sentiasa cukup selain memastikan saluran paip yang digunakan untuk membekalkan air ini besesuaian dengan kadar tekanan air yang diperlukan untuk kawasan tersebut,” katanya.

Rundi berkata, menyedari situasi tersebut, kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM4 bilion bagi tahun 2019 dan 2020 untuk melaksakan projek bekalan air luar bandar.

Katanya, situasi kini berbeza dengan sedekad yang lalu yang mana Sarawak perlu menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk melaksakan projek berkenaan sekaligus menyebabkan ramai penduduk khususnya di kawasan luar bandar tidak mendapat akses kepada bekalan air bersih dan terawat seperti sepatutnya.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peruntukan sebanyak RM18 bilion dipohon bagi melaksanakan projek bekalan air di Sarawak termasuk di kawasan luar bandar.

“Di kawasan luar bandar sehingga kini sebanyak 67 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat bekalan air yang bersih dan terawat. Dibandar sememangnya sudah ada dan apabila kita campur kesemuanya menbentuk sebanyak 87 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat bekalan air.

“Dalam RMK-12 nanti dan dengan jumlah peruntukan yang kita telah pohon itu, kita akan dapat menyediakan bekalan air ke seluruh kawasan yang mempunyai penduduk di negeri ini,” katanya. — DayakDaily