Mangsa bot karam ditemui selamat berpaut pada pokok nipah

Empat orang mangsa bot nelayan tempatan yang karam telah ditemui selamat di kedudukan lebih kurang 22 batu nautika daripada lokasi bot karam.

KUCHING, 17 Sept – Lima mangsa bot nelayan tempatan yang karam telah ditemui selamat di kedudukan lebih kurang 22 batu nautika daripada lokasi bot karam pada jam 5.15 petang tadi.

Menurut Pengarah Agensi Penuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, mangsa pertama dijumpai oleh bot nelayan tempatan pada jam lebih kurang 10.15 pagi berhampiran Pulau Burung, manakala empat lagi mangsa ditemui oleh bot pancing pada jam lebih kurang 5.15 petang tadi ketika sedang berpaut pada pokok nipah yang hanyut di oerairan Semerak Asajaya.

Ketika ditemui, kesemua mangsa memakai jaket keselamatan.


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama PDRM, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin (PPM), Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi carilamat.

Menurut salah sorang mangsa, kejadian berlaku pada jam sekitar 10 pagi ketika cuaca buruk dan keadaan laut yang beralun serta bergelora menyebabkan air masuk ke dalam bot yang menjadi punca bot mereka karam.

Mangsa juga memaklumkan, bot dinaiki mereka mula tenggelam lebih kurang lima jam setelah dibadai ribut, mereka perlahan-lahan terjun dari bot dan berapung secara berkumpulan bersama jaket keselamatan.

“Setelah hampir 26 jam berapung di laut, kami menemui pokok nipah yang hanyut dan berpaut pada pokok tersebut sebelum ditemui bot pancing yang melalui kawasan tersebut. Kami bersyukur kerana jaket keselamatan telah menyelamatkan kami,” kata mangsa.

Empat orang mangsa bot nelayan tempatan yang karam selamat tiba di jeti APMM, KOMTAS.

Sebaik menerima maklumat mangsa telah dijumpai, Teh berkata KM Mengalum telah diaturgerak bagi membawa kesemua mangsa yang diselamatkan untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mangsa dibawa ke jeti APMM, KOMTAS dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut bagi pemeriksaan kesihatan.

“Maritim Negeri Sarawak mengucapkan ribuan terima kasih kepada PDRM, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin (PPM), Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana telah turut serta dalam operasi pencarian ini,” kata Teh dalam satu kenyataan media hari ini.

Dengan penemuan tersebut, operasi carilamat telah ditamatkan pada jam 7.30 malam.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan.

Orang ramai disaran menghubungi Maritim Negeri Sarawak jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily