Loji janakuasa empangan hidro di Sarawak mematuhi garis panduan, piawai antarabangsa

Aisah (duduk empat dari kanan) bersama kakitangan IAB dan warga pendidik yang menghadiri program GreEL di Menara Sarawak Energy.

KUCHING, Julai 27: Sarawak Energy memberi jaminan loji janakuasa empangan hidro yang ada di Sarawak dibina dan dioperasikan dengan mematuhi garis panduan dan piawai antarabangsa yang dapat memastikannya sentiasa selamat.

“Loji janakuasa empangan hidro terbabit dibangunkan mengikut piawai dan garispanduan Suruhanjaya Antarabangsa Mengenai Empangan Besar (ICOLD) yang memastikan ianya dibina dan dioperasikan dengan selamat, cekap, sama rata dari segi sosial dan alam sekitar,”menurut kenyataan media SEB berkaitan program From Great To Excellent Leaders (GreEL) , di Menara Sarawak Energy, di sini, baru-baru ini.

Kenyataan media itu mendedahkan pematuhan garispanduan dan piawai antarabangsa terbabit yang perlu kerana 75 peratus daripada sumber tenaga elektrik negeri ini ketika ini adalah dari sumber boleh diperbahrui itu dan seterusnya menurunkan tarif elektrik di negeri ini kepada terendah di Malaysia dan antara terendah di rantau Asia Tenggara.


Sementara itu mengenai program GreEL, Sarawak Energy menjadi tuan rumah kepada program selama tiga hari Kementerian Pendidikan itu yang dilaksanakan Institut Aminuddin Baki (IAB) dengan program disertai seramai 20 orang pensyarah, pengetua dan guru besar berprestasi tinggi dari seluruh negeri ini.

Naib Presiden Eksekutif Bagi Perkhidmatan Koperat Sarawak Energy, Aisah Eden dalam ucapannya semasa program itu telah berterima kasih kepada IAB kerana memilih Sarawak Energy sebagai rakan koperat melaksanakan GreEL dan mendedahkan ketika ini syarikat tenaga terbabit mempunyai seramai 650,000 pelanggan termasuk komersil dan domestik di negeri ini.

Aisah menyampaikan ucapannya kepada peserta di hari pertama program GreEL di Menara Sarawak Energy.

“Sejak 2011, tenaga manusia (Sarawak Energy) telah meningkat 51 peratus dan hari ini kami ada sekitar 5,000 anak Sarawak dalam pelbagai disiplin tenaga kerja,” katanya.

Beliau juga mendedahkan dalam tempoh 10 tahun yang lepas melalui peruntukan kewangan kerajaan negeri dan pusat, liputan (pembekalan elektrik) domestik negeri Sarawak ketika ini ialah 95 peratus dan kadar elektrifikasi luar bandar telah meningkat dari 56 peratus pada 2009 kepada 90 peratus hari ini yang membuka peluang pembangunan ekonomi-sosial kepada masyarakat setempat. — DayakDaily