MIRI, 15 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot tunda pada jarak lebih kurang 3.4 batu nautika barat daya dari Kuala Baram sekitar jam 2.05 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, bot tunda tersebut ditahan dalam Op Permai di perairan Miri.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen dan ‘Domestic Ship License’ (DSL) yang telah tamat tempoh.
“Kapal tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 26 hingga 49 tahun dan mempunyai dokumen serta passport pekerjaan yang sah.
“Kesemua kru dan kapal ditahan dan diiring ke kawasan bersauh Miri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana DSL yang sudah tamat tempoh.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.
Sebarang aduan, maklum balas serta kecemasan di laut, orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily