Lee: Tindakan drastik perlu diambil untuk membersihkan tebingan sungai Kampung Pengkalan Lutong

Lee (dua dari kanan) menunjukkan kawasan tebingan Sungai Kampung Pengkalan Lutong yang kini agak membimbangkan dengan tumbuhan terapung yang agak padat di sekitarnya.

MIRI, 15 April: Berikutan peningkatan tumbuhan terapung dan sisa kayu yang agak padat berlaku di tebingan sungai Kampung Pengkalan Lutong, satu tindakan drastik telah dicadangkan.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin pada Khamis, beliau akan mengarahkan Lembaga Sungai-sungai Sarawak bersama Jabatan Pengaliran dan Saliran Sarawak untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang kawasan tebingan sungai Kampung Pengkalan Lutong.

“Ini bagi mengelakkam berlakunya banjir kerana aliran sungai terganggu dengan kehadiran tumbuhan terapung dan sisa-sisa kayu,” ujar nya ketika ditemui selepas melawat projek pembinaan kalbat atau jambatan konkrit menghubungkan jalan masuk ke kubur Merapak, Kampung Pengkalan Lutong.


Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin (tengah, kanan) bersama Ketua Kaum Kampung Pengkalan Lutong , Ali Mat, menunjukkan gambar projek kalbat sebelum dan selepas siap.

Turut hadir bersama Ketua Kaum Kampung Pengkalan Lutong Ali Mat.

Projek tersebut telah siap dibina pada 10 Mac yang lepas dengan kos RM100,000.

Ia merupakan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 untuk kawasan Senadin.

Pada masa yang sama, Lee turut mengigatkan kontraktor bertangungjawab agar melakukan kerja menurap jalan yang membabitkan laluan berhadapan menuju jambatan konkrit tersebut.

Difahamkan, Kampung Pengkalan Lutong mempunyai populasi sebanyak 1,300 penduduk.

Tanah perkuburan Merapak, Kampung Pengkalan Lutong telah mula digunakan sejak pertengahan 1970-an.

Dengan siapnya projek pembinaan kalbat atau jambatan konkrit menuju tanah perkuburan berkenaan, ia memudahkan proses penghantaran jenazah ke kawasan tersebut.

“Sebelum ini, kita terpaksa melalui jambatan kayu yang sudah uzur dan ini amat merbahaya kepada kami semasa menghantar jenazah untuk proses pengebumian ke tanah perkuburan,” jelas Ali Mat. — DayakDaily