Lelaki jatuh Sungai Song ditemui mati lemas

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati lemas.

SONG, Mei 15: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Song semalam ditemui mati lemas hari ini.

Mangsa, Pelei Ichong, 45, ditemui pada pukul 3.05 petang selepas mayatnya tersangkut pada jaring yang dipasang oleh adiknya di sekitar sungai berkenan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Song, Federick Aok berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira satu kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang sebelum ini.


Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke pusat kawalan bomba untuk tindakan lanjut dan proses pengecaman oleh ahli keluarganya.

“Selepas itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua tamat sepenuhnya pada pukul 3.55 petang,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan penemuan mayat mangsa.

Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada anggota badan mangsa.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily