Kuasa undi rakyat tidak boleh dinafikan dalam PRU14, kata Penguang

Penguang (tiga dari kiri) merakamkan gambar bersama ahli SIDS.

MIRI, Mei 15: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) merupakan isyarat kuat membuktikan kuasa rakyat dalam memilih kepimpinan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil berkata, tidak dapat dinafikan bahawa kuasa undi rakyat adalah penentu kepada keputusan PRU14 lepas.

Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menegaskan, kuasa untuk menentukan pemerintah pada pilihan raya umum lalu adalah rakyat.


“Ingin saya tegaskan, seseorang itu tidak akan menjadi wakil rakyat sekiranya tidak dipilih menerusi undi orang rakyat di sesebuah kawasan DUN atau Parlimen,” katanya di sini semalam.

Dalam majlis sama, Penguang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) untuk menjalankan kegiatan yang sedang dan telah dirancang.

Dalam pada itu, Penguang menyeru rakyat di negeri ini mengekalkan serta memelihara elemen kesenian dan kebudayaan etnik masing-masing daripada hanyut ditelan arus perubahan semasa.

Jelas beliau, ini kerana banyak pengaruh luar cuba meresap ke dalam pemikiran generasi muda sekarang supaya mengikuti cara mereka.

“Saya tidak menolak kewujudan unsur kesenian baru, namun masyarakat pada masa yang sama perlu mengekalkan warisan bangsa kerana ia adalah asas penting dalam menggambarkan sesuatu kebudayaan.

“Sesuatu warisan hendaklah kita kekalkan kerana ia adalah akar umbi dalam kebudayaan yang mempunyai keunikan dan nilai tersendiri,” katanya lagi. — DayakDaily