Rumah ‘hangus’ di Kampung Tabuan Melayu

Api berjaya dipadam sepenuhnya oleh pihak Bomba.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 15 April: Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berjaya menghalang api merebak dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Kampung Tabuan Melayu, hari ini.

Difahamkan keadaan rumah di dalam kampung tersebut adalah rapat-rapat, namun anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya berjaya memadamkan kebakaran tersebut dengan pantas.


Jurucakap Bomba menjelaskan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.19 pagi.

“Pasukan Bomba memadam kebakaran tersebut menggunakan satu aliran dengan sumber air daripada jentera.

“Proses ‘cooling down’ dibuat di rumah sebelah agar kebakaran tidak merebak dan operasi pemadaman berjaga dikawal pada jam 8.46 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, hanya sebuah rumah jenis struktur tidak kekal musnah sepenuhnya.

“Manakala dua buah rumah di kiri dan kanan hanya melibatkan 10 peratus akibat bahangan tersebut.

“Turut terbakar ialah dua buah motosikal yang musnah sepenuhnya,” katanya lagi.

Tambahnya juga, rumah tersebut didiami empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

Operasi pemadaman itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi. — DayakDaily