KWKPK sokong NGO kembangkan operasi bantu kanak-kanak celebral palsy di utara Sarawak

Fatimah (kiri) melihat proses intervensi yang dilaksanakan di Wishesland untuk kanak-kanak yang menghidap celebral palsy.

KUCHING, 19 Feb: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK)  akan membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wishesland bagi mendapatkan sebuah bangunan kuaters lama kerajaan di Miri bagi membolehkan pertubuhan itu mengembangkan operasinya.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengembangan operasi itu bakal memberikan manfaat kepada pengidap celebral palsy untuk mendapat rawatan dan intervensi bagi sindrom berkenaan di bahagian utara Sarawak.

“Kita akan cuba untuk membantu anda (Wishesland) untuk mendapatkan bangunan terbabit supaya pertubuhan ini dapat menyediakan perkhidmatan yang sama seperti yang diberikan kepada kanak-kanak dengan celebral palsy di sini kepada kanak-kanak dengan masalah sama di Miri.


“Selain itu, kita juga akan memberikan geran sebanyak RM20,000 kepada Wishesland bagi membolehkan mereka melaksanakan program-program intervensi yang telah dirancang,” katanya ketika berucap selepas melakukan lawatan ke Wishesland bagi tujuan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau berkata, kerajaan telahpun mengenalpasti beberapa NGO yang melaksanakan kerja-kerja pemulihan terhadap golongan memerlukan dengan berkesan dan efektif.

Sehubungan itu jelasnya, sokongan termasuk penyediaan geran diberikan kepada NGO terlibat untuk membantu dalam aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan terbabit.

“Kerajaan negeri terus melangkah kehadapan dalam menyediakan latihan kepada golongan kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas dengan memberikan fokus kepada kemampuan serta kebolehan mereka,” katanya.

Fatimah berkata, modul latihan berkenaan tidak akan diubah atau dicipta semula memandangakan terdapat modul sedia ada yang diguna pakai oleh NGO terlibat terbukti berkesan dan effektif.

Kerajaan sebaliknya, tegas beliau akan mengenalpasti modul-modul berkenaan, memberikan sokongan dan seterusnya merapatkan jurang yang tidak wujud pada sebelumnya.

“Kita telah pun melaksanakan perkara ini dengan Pertubuhan Orang Cacat Pendengaran  dari segi latihan yang diperlukan untuk membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada ahli dalam komuniti yang berkesan.

“Kemahiran ini penting bagi golongan ini bagi membolehkan mereka mendapat peluang perkerjaan dan memperoleh pendapatan yang stabil,” katanya. — DayakDaily