KPDNHEP yakin RMK-12 tangani isu kos sara hidup rakyat

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 28 Sept: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik langkah Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk terus konsisten menangani isu kos sara hidup rakyat.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dilaksanakan melalui aspek kesamarataan bagi membolehkan setiap golongan menikmati taraf hidup yang wajar, meningkatkan kuasa beli rakyat dan melonjakkan pendapatan golongan rentan.

“KPDNHEP, melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) akan sentiasa menggalakkan pembangunan iniasiatif dan projek berorientasikan rakyat dan mudah serta cepat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.


“Satu pelan tindakan merentas Kementerian dan agensi telah dibangunkan sebagai panduan kepada program dan aktiviti yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nanta, projek-projek sedia ada yang telah terbukti dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat seperti Community Drumming, Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan, dan Barang Kawalan dan Subsidi yang meliputi beras, tepung, gula, minyak masak, LPG dan Petroleum akan terus ditambahbaik.

Katanya, kementerian memastikan ianya tersalur kepada golongan sasar dan di masa yang sama mengurangkan ketirisan.

Kementerian tambah beliau juga sudah memulakan kajian rasionalisasi subsidi untuk mengenalpasti modul pemberian subsidi yang berimpak dan sampai kepada golongan sasaran.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Dokumen RMK-12 di Parlimen dengan pendekatan whole-of-nation bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19.

Menurut Nanta, Penguat Kuasa KPDNHEP beserta Pegawai Pemantau Harga akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi dan harga dalam terkawal di seluruh rantaian bekalan.

Ujar beliau, kementerian merasakan rakyat Malaysia harus menjadi masyarakat pengguna yang berdaya-upaya yang peka terhadap hak mereka dan peniaga yang beretika dalam sebuah ekosistem perdagangan dalam negeri yang berdaya-saing dan berdaya-maju berasaskan pasaran bebas.

“Program advokasi dan promosi akan terus dilaksanakan di semua peringkat meliputi sekolah, universiti, persatuan pengguna dan masyarakat.

“Dengan ini, KPDNHEP merakamkan komitmen untuk memastikan semua dasar dan strategi berkaitan Kementerian dalam RMK-12 dicapai untuk 5 tahun akan datang.

“Perkembangan dan status setiap insiatif akan dipantau sebaiknya supaya matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan’ tercapai,” ujar Nanta. — DayakDaily