Fadillah: Projek Pan Borneo Sarawak Fasa 1 siap akhir 2022

Dato Sri Fadillah Yusof (file photo)

KUCHING, 28 Sept: Projek Pan Borneo Sarawak Fasa 1 dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2022, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

Katanya yang juga MP Petra Jaya, kemajuan projek tersebut kini telah mencapai 71 peratus.

“Kementerian Kerja Raya komited untuk meneruskan agenda kerajaan yang memfokuskan kepada projek berkepentingan rakyat pascapandemik bagi lima tahun akan datang.


“Ini khususnya ke arah mempertingkatkan infrastruktur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Kesinambungan projek jalan raya yang berpaksikan rakyat akan terus diberi perhatian demi keselesaan dan keselamatan Keluarga Malaysia dengan mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah mengulas berhubung Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semalam.

Tambah beliau, bagi Sarawak fokus utama Kementerian adalah untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo selain meneruskan projek infra lain, antaranya Projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 1.

Bagi Projek Pan Borneo Sabah pula daripada kesemua 35 pakej di dalam Fasa 1 hanya 12 pakej yang sedang dalam pelaksanaan.

Katanya, setakat ini kemajuan keseluruhan 12 pakej tersebut adalah 56 peratus dan ianya dijangka siap pada akhir tahun 2023.

Manakala pakej-pakej selebihnya dalam Fasa 1 iaitu sebanyak 23 pakej lagi akan dilaksanakan apabila peruntukan disediakan.

“Untuk makluman juga sehingga 21 Ogos 2021, Kementerian Kerja Raya telah membelanjakan RM2,904 juta bersamaan 54 peratus peruntukan belanja pembangunan.

“Sebagai Menteri Kanan bertanggungjawab terhadap kluster infra juga saya komited untuk memastikan penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

“Sarawak dan Sabah yang masih ketinggalan diberi perhatian dalam RMK-12 bila mana Fokus Ketujuh daripada Sembilan Fokus RMK-12 adalah Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun,” ujar beliau.

Dalam kenyataan itu, Fadillah mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri di atas komitmen yang diberi untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, ini termasuk jaminan pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMKe-12.

“Komitmen pucuk kepimpinan negara dalam RMK-12 untuk mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri.

“Antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar serta melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak, membuktikan komitmen Kerajaan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 Keluarga Malaysia,” kata Fadillah. — DayakDaily